IBU bapa Zulfarhan, Hawa Osman dan Zulkarnain Idros keluar dari bilik mahkamah, semalam.
IBU bapa Zulfarhan, Hawa Osman dan Zulkarnain Idros keluar dari bilik mahkamah, semalam.
Oleh Nor Azura Abdul Jalil


TERTUDUH pertama kes kematian membabitkan Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, bahawa dia mencucuh mangsa menggunakan seterika wap.

Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, 23, berkata, dia melakukan perbuatan itu terhadap Zulfarhan sekali saja di tapak kaki dan lutut mangsa.

Ketika dicadangkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim bahawa tertuduh bukan hanya mencucuh seterika wap di dua bahagian badan Zulfarhan, malah di bahagian lain seluruh tubuh mangsa, Muhammad Zuhairi berkata, “Saya tak setuju.”

Saksi pembelaan pertama itu berkata demikian pada sesi soal balas perbicaraan peringkat bela diri dalam kes kematian Zulfarhan, semalam.

Muhammad Zuhairi bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Julia bahawa selain dirinya, empat lagi tertuduh lain iaitu Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri juga menekap Zulfarhan menggunakan seterika berkali-kali secara bergilir-gilir.

Menurut Muhammad Akmal, sebelum kejadian mencucuh seterika wap itu, Zulfarhan mengaku kepadanya bahawa dia mencuri komputer riba miliknya.

JULIA: Saya katakan sekurang-kurangnya kamu telah mencucuh Zulfarhan dengan seterika wap sebanyak 18 kali?

MUHAMMAD AKMAL: Tidak setuju.

JULIA: Saya katakan setiap kali Zulfarhan dicucuh dengan seterika wap, dia menjerit kesakitan?

MUHAMMAD AKMAL: Ya.

JULIA: 90 kali cucuhan maknanya sekurang-kurangnya 90 kali Zulfarhan menjerit?

MUHAMMAD AKMAL: Saya tak pasti.

JULIA: Sepanjang Zulfarhan dicucuh dengan seterika, adakah kamu cuba untuk menghentikan perbuatan itu?

MUHAMMAD AKMAL: Saya tak hentikan.

JULIA: Apabila kamu mencucuh seterika pada Zulfarhan dan kamu tidak hentikan perbuatan itu, adakah itu perbuatan betul dan mengikut undang-undang?

MUHAMMAD AKMAL: Tidak

JULIA: Zulfarhan dah minta maaf dan nak bayar balik komputer riba serta minta masa sikit. Ada kamu buat laporan mengenai perkara itu?

MUHAMMAD AKMAL: Saya memang tak buat laporan.

JULIA: Saya katakan kamu tak buat laporan sebab kamu tahu perbuatan kamu memukul Zulfarhan adalah salah.

MUHAMMAD AKMAL: Saya tak setuju.

JULIA: Saya katakan kalau kamu buat laporan, kamu dan kawan-kawan akan diambil tindakan.

MUHAMMAD AKMAL: Saya tak setuju. Kebiasannya di UPNM tak ada apa yang berlaku.

JULIA: Jadi budaya di situ, pukul orang tak ada apa yang berlaku, curi komputer riba kena buang. Itu yang kamu maksudkan?

MUHAMMAD AKMAL: Ya Yang Arif.

Dia juga bersetuju dengan Julia bahawa sepanjang 23 hingga 26 Mei 2017, dia hanya menyapu losyen gamat pada luka di tubuh Zulfarhan sebelum mangsa dibawa ke Klinik As-Salam pada 27 Mei 2017.

Sementara itu, pada pemeriksaan semula oleh peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakilinya, Muhammad Akmal menjelaskan dia membawa Zulfarhan keluar dari UPNM untuk mendapatkan rawatan di Bangi kerana ingin tahu mengenai keadaan luka di tubuh badan mangsa sama ada terdapat jangkitan atau tidak.

Selain itu, Muhammad Akmal juga menjelaskan dia ada meminta maaf kepada Zulfarhan kerana menggunakan seterika wap terhadap mangsa.

Menurutnya, keadaan Zulfarhan ketika itu baik dan lukanya ada yang beransur pulih serta ada berair.

Enam penuntut UPNM Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif, Mohamad Shobirin dan Abdoul Hakeem Mohd Ali mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara jam 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka yang semuanya berusia 23 tahun dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mereka bersama-sama 12 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 6:01 AM