SHAHROL Azral
Oleh Nasharuddin Muhammad dan Murni Wan Omar


HANYA sebahagian kecil dana diperoleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) digunakan untuk pembangunan manakala selebihnya disalurkan kepada syarikat PetroSaudi International Ltd (PSI).

Perkara itu disahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam prosiding bicara di Mahkamah Tinggi di sini, yang masuk hari ke-31, semalam.

Shahrol Azral memberi keterangan dalam kes membabitkan Najib yang didakwa atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah RM2.28 bilion.

Shafee merujuk kepada saksi kesembilan itu Resolusi Pekeliling Ahli Lembaga Pengarah 1MDB berhubung pinjaman jangka pendek berjumlah RM5 bilion dan RM10 bilion.

Dana 1MDB itu sepatutnya digunakan bagi pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) (dahulu dikenali sebagai Kuala Lumpur International Financial District) dan Projek Bandar Malaysia di Sungai Besi.

Shahrol dalam keterangannya berkata, 1MDB memperoleh dana RM1 bilion untuk TRX, bagaimanapun tidak semua dana disalurkan ke projek itu.

Menurutnya, majoriti pinjaman itu disalurkan ke PSI bagi caj tambahan berhubung perjanjian Murabaha.

Terdahulu menjawab soalan Shafee, saksi kesembilan itu mengesahkan bahawa pada 2010, 1MDB ada merancang untuk membangunkan TRX dan Bandar Malaysia.

SHAFEE: Adakah 1MDB berjaya mengumpul dana RM5 bilion dan RM10 bilion itu?

SHAHROL: Kami berjaya mendapatkan dana bagi RM5 bilion, bagaimanapun gagal mendapatkan RM10 bilion itu.

SHAFEE: Apa tujuan pinjaman ini?

SHAHROL: Ia bagi membiayai dua projek ini (TRX dan Bandar Malaysia).

SHAFEE: Adakah RM5 bilion digunakan untuk projek TRX?

SHAHROL: Ada tetapi hanya jumlah yang kecil untuk TRX. Jika ingatan saya betul, wang itu digunakan PSI untuk perjanjian murabaha sebelum ini.

SHAFEE: Ahli Lembaga Pengarah dimaklumkan bahawa RM5 bilion dan RM10 bilion masing-masing untuk projek itu. Kamu berjaya memperoleh dana RM5 bilion dulu?

SHAHROL: Kami akhirnya berjaya memperoleh pinjaman dana lebih kurang RM700 juta dan tidak sampai RM5 bilion.

Menjawab soalan Shafee, Shahrol Azral berkata, interaksi beliau dengan Najib menyebabkan dirinya yakin dengan syarikat PSI.

SHAFEE: Ada Najib beritahu kamu siapa pemilik PSI?

SHAHROL: Najib tidak pernah berkata apa-apa berhubung perkara itu.

SHAFEE: Sebagai Perdana Menteri (Najib ketika itu) yang juga pemegang saham, kamu tidak boleh mengharapkan beliau membuat penelitian wajar berhubung isu ini?

SHAHROL: Secara amnya ya tetapi dalam situasi ini, saya berpandangan Najib secara peribadi terbabit secara langsung dengan projek ini, malah bertemu dengan Putera Turki ketika bercuti.

SHAFEE: Setuju saya katakan bahawa perlu ada pihak yang membuat penelitian wajar seperti 1MDB sendiri?

SHAHROL: Ya.

Prosiding di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini.


MUHAMMAD Shafee

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 6:40 AM