MUHD Amirul bersama adik dan ibunya, Suryah.
Oleh Nurul Fatihah Sulaini


“SAYA terpaksa tangguh hasrat berkahwin dengan teman wanita kerana masalah tiada kad pengenalan dan sijil kelahiran,” luah Muhd Amirul Asyraf Abdul Aziz, 26.

Amirul adalah anak sulung daripada perkahwinan kedua Allahyarham bapanya, Abdul Aziz Yaacob, 57, dengan ibunya, Suryah Zakaria, 53, yang berasal dari Kampung Apal.

Sebelum ini, media melaporkan sijil nikah Allahyarham Abdul Aziz bersama isteri ketiganya, Siti Aishah Aziz, 39, warga Thailand hilang menyebabkan tujuh anaknya tidak dapat bersekolah kerana gagal memperoleh sijil kelahiran dan dokumen pengenalan diri.

Berkongsi lebih lanjut, Amirul berkata, kerana masalah itu, dia tidak boleh bebas keluar dari kawasan kampung kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Malah, impiannya untuk bersekolah juga terbantut dan hanya bersekolah setakat tahun tiga, itupun secara menumpang atas ihsan guru di sebuah sekolah rendah.

Kini katanya, dia dihantui masalah baharu apabila niatnya untuk berkahwin berdepan laluan sukar kerana masalah ketiadaan dokumen pengenalan diri.

“Jika diikutkan saya mahu melaksanakan majlis perkahwinan segera untuk mengelak melakukan sebarang perkara yang boleh menyalahi agama, tetapi terhalang disebabkan masalah ini,” katanya di Kampung Apal, semalam.

Sementara itu, Suryah berkata, dia bernikah di Pattani, Thailand pada 1993 dengan Abdul Aziz, namun Allahyarham suaminya enggan membuat pendaftaran pernikahan semula dalam negara.

“Suami bimbang tindakannya berkahwin di luar negara boleh dikenakan tindakan undang-undang yang boleh membawa hukuman penjara. Disebabkan itu arwah enggan mendaftarkan perkahwinan kami.

“Sijil nikah dari Pattani ini sah, cuma perkahwinan kami tidak didaftarkan di sini. Mujur saya masih simpan sijil asal sehingga hari ini,” katanya.

Suryah berkata, ketika mengandungkan Amirul tujuh bulan, dia pergi menziarahi kakaknya di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang, Kelantan dan tanpa disangka bersalin awal pada 11 November 1993 di rumah kakaknya itu.

“Ketika itu ada bidan yang sambut kelahiran Amirul dan saya balik ke Terengganu selepas seminggu bersalin tanpa sempat mengambil dokumen sijil kelahiran.

“Sebulan selepas itu arwah suami pergi semula ke klinik berhampiran kawasan itu, tetapi dimaklumkan semua dokumen kelahiran hilang dalam kejadian banjir besar termasuk dokumen Amirul,” katanya.

Disebabkan tidak mendaftarkan pernikahan itu, Suryah berkata, dua anaknya yang juga adik Amirul didaftarkan dengan berbin Abdullah serta tiada maklumat bapa.

“Saya berharap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dapat membantu menguruskan proses pendaftaran sijil kelahiran dan kad pengenalan anak kami ini,” katanya menambah dia dan arwah suaminya tinggal berasingan sejak 2014 sehingga Abdul Aziz meninggal dunia bulan lalu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu, Mohamad Nasir Kareem berkata, mereka sudah melawat keluarga Siti Aishah dan sudah mengambil butiran maklumat keluarga terbabit.

“Kita meminta wakil keluarga melengkapkan beberapa dokumen sebelum dihantar ke JPN untuk tindakan lanjut. Untuk kes Muhd Amirul Asyraf, kita akan menghubunginya untuk mengetahui keadaaan sebenar dan masalah dihadapinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 7:00 AM