Muhamaad Razis Ismail


USIANYA baru mencecah 15 tahun namun sudah terbabit dengan sindiket pengedaran pil kuda di sekitar Tumpat.

Kegiatan pelajar lelaki itu terbongkar selepas ditahan polis bersama 7,800 pil kuda bernilai RM117,000 dalam serbuan di rumah di Taman SBJ, Pasir Pekan, Tumpat pada 4.05 pagi semalam.

Turut ditahan, abangnya berusia berusia 24 tahun dan dua lagi lelaki berusia 20 dan 21 tahun.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, empat lelaki termasuk pelajar itu berada di ruang tamu rumah, ketika serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat.

“Berlaku sedikit pergelutan ketika serbuan itu sebelum semua suspek ditahan. Pemeriksaan di badan suspek tidak menemui barang salah.

“Pemeriksaan lanjut, kita menemui plastik di atas kerusi kecil di ruang tamu berisi pil kuda.

“Semua suspek kemudian dibawa ke IPD Tumpat untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kumpulan itu aktif mengedar dadah di Tumpat sejak bulan lalu dengan bekalan diperoleh daripada pembekal di daerah itu.

“Ujian saringan air kencing mendapati seorang suspek berusia 20 tahun positif methampetamine. Kita masih menjalankan siasatan lanjut peranan remaja itu dalam kumpulan terbabit.

“Semua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Hasanuddin berkata, seorang penganggur berusia 26 tahun ditahan bersama 1,644 botol dadah kodein di sebuah rumah di Kampung Bunut Sarang Burung, Tumpat pada 12.35 tengah malam, hari sama.

“Dadah dengan isipadu 162.96 liter bernilai RM24,444 itu ditemui dalam bilik. Siasatan mendapati suspek aktif mengedar dadah itu di sekitar Tumpat sejak Ogos lalu.

“Suspek direman selama empat hari bermula semalam mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952,” katanya.

HASANUDDIN (tengah) bersama pegawainya menunjukkan rampasan dadah hasil serbuan di Tumpat. FOTO Zaman Huri Isa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 12:40 PM