Norizuan Shamsuddin


PENUNTUT institusi kemahiran dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun.

Bagaimanapun tertuduh, Mohamad Khairin Safwan Khairul Azman, 21, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan hakim, Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak berkenaan di sebuah kediaman di Jalan Bukit Losong, Kampung Losong Megat Hussein, Kuala Terengganu, kira-kira 5 petang, 25 Januari lalu.

Dengan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 26 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen untuk lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 3:52 PM
MOHAMAD Khairin Safwan diiringi polis di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO Imran Makhzan
MOHAMAD Khairin Safwan diiringi polis di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO Imran Makhzan
Digital NSTP Subscribe