AYSAR Nasri selamat menjalani pembedahan. FOTO Ihsan Najihah Salwani.
Mohd Hilmie Hussin


MUHAMMAD Nassar Sanusi yang mendermakan sebahagian hati kepada anaknya, selamat menjalani pembedahan di Max Super Speciality Hospital, New Delhi, India.

Pembedahan berlangsung 13 jam pada Sabtu lalu dan dua beranak itu dilapor stabil.

Kakak Muhammad Nassar, Najihah Salwani, 33, berkata, adik dan anaknya Aysar Nasri berusia tujuh bulan bagaimanapun masih dalam pantauan pakar di unit rawatan rapi hospital itu.

“Syukur kedua-duanya sudah sedar dan kami sekeluarga termasuk emak dan ayah serta seorang lagi adik masih di sini (India) kerana isteri Muhammad Nassar (Nor Asy Syifa Mohd Fauzi, 29) pulang ke tanah hati kerana cuti berakhir.

“Doktor beritahu, mereka berdua stabil dan masing-masing menunjukkan perkembangan positif.

MUHAMMAD Nassar bersama anaknya sebelum pembedahan. FOTO Ihsan Najihah Salwani.

“Sama ada perlukan pembedahan susulan atau tidak, semuanya bergantung kepada keadaan, jika ada komplikasi. Tetapi kami berharap tiada ‘rejection’ pada Aysar Nasri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Najihah Salwani berkata, pakar yang merawat dua beranak itu turut menyifatkan pembedahan terbabit berjaya, meskipun Aysar Nasri perlu ditempatkan di ICU selama dua minggu.

Katanya, Muhammad Nassar pula dijangka dipindahkan ke wad biasa esok.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kisah Aysar Nasri yang menderita penyakit hati kronik dan keluarga itu memerlukan sokongan dana untuk membolehkan pemindahan hati dilakukan.

Muhammad Nassar nekad mendermakan hati buat bayinya dengan kos pembedahan perlu ditanggung mereka cecah RM120,000.

Berita berkaitan

'Aysar ok, positif'

Bersama-sama kita doakan mereka...

Terima kasih rakyat Malaysia

Bantulah Aysar Nasri

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 4:36 PM