Membaca al-Quran, solat malam dan berdoa kepada Allah SWT antara tip yang dikongsikan Dr Zulkifli. FOTO Zaman Huri Isa
Membaca al-Quran, solat malam dan berdoa kepada Allah SWT antara tip yang dikongsikan Dr Zulkifli. FOTO Zaman Huri Isa


MUFTI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri bermurah hati berkongsi tips berguna bagi menghadapi peperiksaan.

Beliau menerusi catatan Twitter hari ini turut mengucapkan selamat berjaya kepada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Sedikit tips menghadapi peperiksaan daripada saya, (iaitu) kurangkan ‘gangguan’ seperti telefon pintar, jua media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.

“Lakukan persiapan awal seperti bangun awal pagi untuk mengulang kaji.⁣

“Rehat dan makan secukupnya. Kurang berehat dan kurang tenaga membuatkan minda anda lebih tertekan dan itu tidak baik untuk kesihatan,” katanya.

Tidak dilupakan juga katanya, pelajar dianjurkan memperbanyakkan membaca al-Quran, solat malam dan berdoa kepada Allah SWT.

“Ini tips terpenting kerana segala kunci kejayaan anda adalah kehendak-Nya, selain usaha anda yang gigih.⁣

“Kami ingin melihat generasi akan datang berjaya dunia dan akhirat, seimbang duniawi dan ukhrawi.

“Buat yang terbaik dan selebihnya bertawakal kepada-Nya. Semoga bermanfaat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 6:28 PM