Dr Mahathir bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Dr Mahathir bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Hairulazim Mahmud


KERAJAAN akan segera meminda akta drakonian termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi mengelakkan ia disalahgunakan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, lagi pun ia adalah janji Pakatan Harapan (PH) untuk berbuat demikian.

“Meskipun tidak akan menghapuskan sama sekali, namun akan ada perubahan pada bahagian drakonian seperti menangkap dan menahan tanpa menuduh di mahkamah, akan dipinda seperti SOSMA.

“Kita akan segera pinda, kalau dapat pada sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini, kalau tak tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Majlis Presiden PH di Yayasan Kepemimpinan Perdana di Putrajaya, malam ini.

Turut hadir semua pucuk pimpinan parti komponen PH.

Desakan meminda atau menghapuskan akta berkenaan termasuk SOSMA, Akta Pencegahan Jenayah (POCA) serta Akta Pencegahan Keganasan (POTA) semakin kuat khususnya oleh DAP selepas pihak berkuasa bertindak ke atas suspek kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Dr Mahathir bagaimanapun mempertahankan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap penyokong kumpulan pengganas itu.

Pada 1 November lalu, 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP didakwa di tiga mahkamah berasingan atas beberapa pertuduhan antaranya memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi media sosial iaitu Facebook.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 11:22 PM