SEBAHAGIAN peserta yang menyertai program Eksplorasi Kayak dan Alam Semula Jadi Unit Berunifom Sekolah Rendah dan Menengah peringkat negeri di Tasik Chini.
Oleh Mohd Rafi Mamat


SERAMAI 210 peserta terdiri daripada murid 42 sekolah di daerah ini terpilih menyertai program Eksplorasi Kayak dan Alam Semula Jadi Unit Beruniform Sekolah Rendah dan Menengah peringkat negeri di Tasik Chini di sini, kelmarin.

Pada program yang julung kali diadakan itu, peserta perlu berkayak sejauh 8.6 kilometer (km) bermula jam 8.30 pagi hingga 3 petang dan menjelajah 12 tasik atau kawasan sekitar.

Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Pekan, Mohd Razali Mustafar berkata, sebanyak 120 kayak digunakan dan setiap kayak hanya memuatkan dua peserta sahaja yang turut dilengkapi jaket keselamatan.

Seramai 40 guru dan urusetia terbabit serta mengawasi semua peserta sepanjang mereka berkayak.

Katanya, program itu bertujuan memberi peluang kepada peserta merasai pengalaman berkayak sambil melihat keindahan alam semula jadi tasik itu yang terkenal dengan pelbagai cerita rakyat.

Menurutnya, tarikan lain terdapat di Tasik Chini yang dapat memberi kepuasan kepada peserta iaitu mereka berpeluang melihat lebih dekat pokok teratai berbunga yang banyak terdapat di tasik berkenaan.

“Program yang diadakan ini turut dapat memberi kesedaran terhadap kepentingan menghargai dan menyayangi alam semula jadi selain mengeratkan hubungan dalam kalangan peserta dari berlainan sekolah.

“Aktiviti rekreasi menjadi acara terbaik untuk membentuk modal insan bermula di peringkat sekolah,” katanya pada majlis pelepasan peserta program berkenaan.

Sementara itu pengurus program, Mohamad Sahaimi Zainal berkata, seramai 50 murid Orang Asli suku kaum Jakun turut menyertai program berkenaan.

Katanya, acara lain turut diadakan ialah aktiviti menanam pokok untuk pemuliharaan hutan, selain melihat projek penyelidikan oleh Pusat Penyelidikan Tasik Chini Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membabitkan spesies tumbuhan di dalam dan persekitaran tasik.

“Saya berharap program ini dapat mencapai matlamatnya dalam usaha memupuk kesedaran menjaga alam sekitar dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 7:10 AM