RUMAH di Taman Petaling yang terbakar, hari ini. FOTO Ihsan Bomba.
RUMAH di Taman Petaling yang terbakar, hari ini. FOTO Ihsan Bomba.
Nurul Hidayah Bahaudin


DUA rakan serumah melecur dan sesak nafas selepas kediaman mereka di Taman Petaling, Kepong Baru, Kuala Lumpur, terbakar, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 8.32 pagi.

“Seramai 24 anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang, BBP Sentul, BBP Sri Hartamas dan BBP Taman Tun Dr Ismail dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, kami mendapati sebuah rumah teres terbakar dan pemadaman segera dilakukan.

“Api berjaya dikawal dan padam sepenuhnya pada 9.56 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut jurucakap itu, seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 27 dan 28 tahun cedera akibat melecur selain sesak nafas.

“Lelaki melecur di tangan, badan dan kaki, manakala wanita itu pula melecur di tangan. Mereka dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan,” katanya.

Kebakaran menyebabkan rumah teres itu musnah 90 peratus dan punca serta jumlah kerugian dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 1:02 PM
Digital NSTP Subscribe