Gambar hiasan.
Mohd Husni Mohd Noor


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjelaskan Touch ‘n Go bukanlah suatu monopoli, sebaliknya banyak lagi pemain lain yang beroperasi di pasaran dompet digital (e-wallet) tempatan.

Timbalan Menterinya Chong Chieng Jen berkata, antaranya MCash, Boost, GrabPay dan Alipay malah, senarai penuh pemegang lesen e-wallet turut dipamer di laman web Bank Negara Malaysia (BNM).

Beliau berkata, mengikut undang-undang sedia ada mengikut Seksyen 10 Akta Persaingan 2010, monopoli boleh dikategorikan sebagai satu kesalahan jika menghalang kemasukan pemain lain dalam pasaran.

“Kami mendapati khidmat Touch ‘n Go dilihat sebagai pemudah cara kepada alternatif menggunakan tunai. Ini bermaksud pengguna diberi pilihan sama ada untuk menggunakan Touch ‘n Go sebagai kaedah pembayaran atau tidak,” katanya pada sesi soal jawab lisan di sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) berhubung tindakan kerajaan untuk mengekang monopoli penggunaan kad Touch ‘n Go memandangkan caj tambahan 10 peratus dikenakan di tempat letak kereta dan caj 50 sen bagi setiap kali tambah nilai.

Mengulas lanjut, Chong berkata, caj tambahan sebanyak 10 peratus yang dikenakan itu adalah caj yang dikenakan hanya di tempat yang mana perkhidmatan pembayaran tiket menggunakan kad Touch ‘n Go dan tunai disediakan pada masa yang sama.

“Bagaimanapun, di kawasan tempat kereta yang hanya terdapat infrastruktur Touch ‘n Go sebagai kaedah pembayaran, tiada caj tambahan akan dikenakan.

“Selain itu, saya dimaklumkan Touch ‘n Go akan memastikan semua kontrak baharu atau pembaharuan kontrak pada masa depan tidak mengenakan sebarang surcaj yang berasaskan kadar diskaun peniaga (MDR) manakala, kontrak sedia ada yang berasaskan surcaj akan tamat tempoh secara berperingkat.

“Saya ingin jelaskan bahawa polisi caj 10 peratus ini diwarisi daripada kerajaan terdahulu dan sekarang kita (Pakatan Harapan) akan menghapuskan kos tambahan itu,” katanya.

Bagi isu caj 50 sen tambah nilai Touch ‘n Go pula katanya, syarikat itu menyediakan 11,168 lokasi tambah nilai di seluruh negara malah, tambah nilai tanpa apa-apa bayaran boleh dilakukan di beberapa lokasi seperti TNG Spot dan kedai runcit seperti Watsons, Guardian, Tesco, KK Mart dan Caring Pharmacy.

“Secara keseluruhan sebanyak 2,880 lokasi tambah nilai disediakan tanpa apa-apa caj di seluruh negara. Terpulang kepada pengguna untuk melakukan tambah nilai di lokasi berkenaan atau di tempat yang mengenakan caj tambahan sebanyak 50 sen,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pengeluar wang elektronik dikehendaki mematuhi beberapa prinsip panduan yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) khususnya dalam mengenakan fi (caj) ke atas produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 1:52 PM