Amir Abd Hamid


UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) yakin mencapai sasaran pendapatan RM10 juta menerusi 9,999 plat khas kenderaan keluaran universiti itu.

Naib Canselornya, Profesor Ir Dr Mohd Hamdi Abd Sukor berkata, sasaran itu diyakini dapat dicapai berdasarkan jumlah alumni 215,000 orang yang sudah berjaya di pelbagai bidang masing-masing selain bidaan terbuka kepada orang ramai.

Beliau berkata, bidaan bermula 8 Januari 2020 dan bidaan digit tunggal UKM 1 hingga UKM 9 minimum ditawarkan RM100,000.

“UKM meletakkan sasaran RM10 juta namun jika mencapai antara RM7 juta hingga RM8 juta ia sudah agak baik.

“Kita ada alumni yang sudah berjaya di luar sana dan mereka adalah skop sasaran utama untuk membida plat khas kenderaan ini.

“Selain itu, abjad UKM di plat khas pendaftaran ini juga dijangka menarik minat orang ramai untuk memilikinya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Plat Kenderaan Khas UKM yang dirasmikan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook di Bangi hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Shaharuddin Khalid.

Mengulas lanjut, pelancaran plat khas kenderaan itu juga adalah sempena sambutan Jubli Emas 50 tahun UKM tahun depan.

Beliau berkata, orang ramai berminat boleh melakukan bidaan di ubida.ukm.my yang dibangunkan universiti itu.

Sementara itu, Loke berkata, UKM adalah universiti pertama diberikan kebenaran kementerian untuk mengeluarkan plat khas kenderaan.

“Kementerian juga sudah meluluskan plat khas kepada tiga universiti lain iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Abjad yang melambangkan universiti berkenaan popular khususnya di kalangan alumni masing-masing,” katanya yang juga alumni UKM.

Dalam perkembangan lain katanya, kementerian melihat keperluan meminda undang-undang bagi menangani masalah basikal lajak.

Menurutnya, arahan sudah diberikan kepada JPJ untuk bersama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Peguam Negara untuk mencari penyelesaian.

“Basikal tak termasuk dalam kawal selia sebab ia tidak memerlukan nombor pendaftaran.

“Bagaimanapun, kementerian sedang melihat dan rangka apa bentuk kawal selia sesuai untuk basikal lajak termasuk terhadap kedai yang melakukan pengubahsuaian basikal.

“Apa pun, kawal selia utama sebenarnya bermula dari rumah. Ibu bapa perlu bertanggungjawab memantau aktiviti anak-anak mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 5:54 PM
ANTHONY Loke melihat plat kenderaan khas UKM di sebuah motosikal sambil diperhatikan Prof Dr Mohd Hamdi (kanan). FOTO Aizuddin Saad