Ahli keluarga Allahyarham Mohamad Johari menabur bunga di pusara anggota polis itu selepas selesai pengebumiannya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Lebai Hashim, Bukit Minyak di Bukit Mertajam malam tadi. Foto Shahnaz Falie Shahrizal
Hadzlihady Hassan


“KALI terakhir kami bertemu di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) pada bulan lalu ketika saya mahu menunaikan umrah dan waktu itu tiada sebarang perubahan pelik pada arwah,” kata Rosli Mydin, 59.

Rosli adalah bapa kepada Lans Koperal Mohamad Johari Rosli, 32, yang maut dilanggar lori selepas selesai menjalankan operasi sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Canggung, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor pagi semalam.

“Saya juga ada berbual dengan arwah melalui telefon bimbit dua hari lalu untuk bertanya khabar,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian jenazah anaknya itu di Tanah Perkuburan Islam Masjid Lebai Hashim, Bukit Minyak di Bukit Mertajam malam tadi.

Menurutnya, dia menerima khabar sedih mengenai kejadian menimpa anaknya itu pada 7.30 pagi daripada rakan setugas arwah.

“Sebagai bapa, saya reda dengan pemergian arwah anak,” katanya.

Terdahulu, jenazah anggota polis terbabit tiba di rumah keluarganya di Taman Sentul Juru pada 10.55 malam.

Jenazah anak kedua daripada enam beradik itu kemudiannya dibawa ke masjid untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan pada 12.30 tengah malam.

Ia dihadiri kira-kira 100 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara dan rakan Allahyarham Mohamad Johari walaupun hujan lebat.

Ibu arwah, Jarina Hussein, 53, turut menghadiri pengebumian itu.

Mohamad Johari yang bertugas di Balai Polis Taman Scientex meninggal dunia dilanggar lori yang datang dari arah Kota Masai ke Taman Pasir Putih selepas dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas.

Ketika kejadian pada 5.30 pagi itu terdapat enam anggota polis sedang memuatkan kelengkapan operasi ke atas Land Rover untuk kembali ke pangkalan.

Mereka baru selesai penugasan SJR cegah jenayah sebelum dilanggar menyebabkan dua maut dan tiga lagi parah.

Seorang lagi anggota polis yang maut dalam kejadian itu ialah Lans Koperal Saifullah Mohamad, 32, dari Balai Polis Pasir Gudang.

Berita berkaitan

Semoga rohnya dicucuri rahmat

Polis baru selesai 'road-block' sebelum dirempuh

Dua polis maut dirempuh lori

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 1:30 AM