SUZIELA menjaga Mohd Ridzuan yang menghidap kanser tulang selain anak bongsunya yang menghidap sindrom Down.
Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


SEORANG wanita kini menggalas tugas berat menguruskan rumah tangga sendirian selepas suaminya terlantar akibat kanser tulang tahap empat manakala anak bongsunya menghidap sindrom Down.

Suziela Jusoff, 30, terpaksa berhenti kerja sejak setahun lalu bagi menjaga suami, Mohd Ridzuan Omar, 34, anak bongsu mereka, Nurriana Soffiya berusia 12 bulan dan anak sulung, Muhammad Syamil Rifdi, 5.

Wanita ini berkata, sel kanser pada mulanya menyerang bahagian tulang suaminya, namun kini merebak hampir ke seluruh organ penting seperti limpa, usus serta paru-paru menyebabkan Mohd Ridzuan tidak berdaya untuk bergerak sendiri.

Berikutan itu dia berhenti kerja sebagai kerani jualan tiket dan kini mereka menumpang di rumah mentuanya kerana tidak mempunyai pendapatan sendiri.

“Saya berhenti kerja selepas tahap kesihatan suami merosot. Walaupun sudah sembuh sepenuhnya daripada kanser hidung tahap dua dikesan pada 2014, dia disahkan menghidap kanser tulang, Mac lalu.

“Sebelum ini suami bekerja sebagai pengawal keselamatan namun terpaksa berhenti kerja tahun lalu akibat kanser,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Ranting, Kamunting di sini, semalam.

Suziela berkata, suaminya kini bergantung kepada susu khas yang diambil menggunakan tiub dimasukkan menerusi hidung.

Menurutnya, ketiadaan punca pendapatan menyebabkan dia sukar membiayai kos rawatan, perubatan, membeli lampin pakai buang dan susu khas berharga RM56 satu tin untuk suaminya.

“Ibu mentua menjalankan perkhidmatan katering, tapi pendapatan tidak menentu. Kami ada terima bantuan bulanan Baitulmal sebanyak RM400 tapi tidak cukup untuk tampung keperluan kami sekeluarga.

“Anak bongsu kami disahkan menghidap jantung berlubang dan sindrom Down yang memerlukan rawatan di hospital setiap tiga bulan,” katanya.

Orang ramai ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 108057483754 atas nama Suziela Jusoff.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 7:30 AM