AZRIAH menunjukkan sarjana yang diterima kepada pelajar SMK DUSAJ selepas Majlis Konvokesyen UKM, kelmarin.
Oleh Abnor Hamizam Abd Manap


SEORANG guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Undang Syed Ali Al Jufri (DUSAJ) di sini, sanggup mengeluarkan belanja sendiri menyewa bas membawa pelajar menyaksikan majlis konvokesyennya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.

Azriah Mohd Azmir berbuat demikian untuk memberi motivasi kepada 40 pelajar sekolah itu supaya mereka mempunyai keinginan menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi, sekali gus berjaya menamatkannya.

Guru yang dipanggil umi oleh pelajarnya itu berkata, dia tidak kisah mengeluarkan belanja menyewa sebuah bas bagi membolehkan mereka hadir menyaksikan majlis berkenaan di UKM, kelmarin.

“Ini antara kenangan terindah saya selepas bertungkus-lumus tiga tahun selain perlu bijak membahagikan masa sebagai guru dan ibu kepada tiga cahaya mata, akhirnya saya raikan kejayaan ini bersama pelajar dan ahli keluarga.

“Saya mahu pelajar merasai kemanisan apabila berjaya menamatkan pelajaran di peringkat institusi pengajian tinggi. Semestinya mereka juga perlu menanam keinginan sama untuk dikongsi dengan ahli keluarga khususnya ibu bapa masing-masing,” katanya yang turut memiliki Sarjana Muda Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Azriah menamatkan pengajian dengan mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.63 dan menerima Sarjana Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling dalam Majlis Konvokesyen UKM Ke-47, kelmarin.

Pelajar tingkatan empat SMK DUSAJ Fatin Syahirah Ahmad Hamidi, 16, berkata biarpun hanya menyaksikan istiadat konvokesyen menerusi layar besar disediakan pihak UKM di luar Dewan Tun Abd Razak, dia tetap bangga kerana kali pertama menyaksikan majlis itu.

“Kami datang ke majlis ini bagi meraikan kejayaan cikgu Azriah apatah lagi beliau bermurah hati menyewa sebuah bas untuk kami hadir menyaksikan majlis itu.

“Kejayaan diraih cikgu akan menjadi motivasi kepada saya untuk berjaya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan seterusnya meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 8:00 AM