AMIRUL Firdaus memandikan lembu sado baka Charolais yang dipanggil Abu.
Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli


“BERAPAPUN orang tawar untuk membeli Abu, saya tidak akan menjualnya kerana masih belum puas menjaganya,” kata Amirul Firdaus Sasfarizan, 17, pemilik lembu sado baka Charolais ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Terap di sini, semalam.

Lembu sado yang dipanggil Abu seberat 840 kilogram itu dibeli daripada seorang penternak di Kelantan empat bulan lalu dengan harga RM15,000.

Amirul Firdaus berkata, seorang penternak dari Kelantan menawarkan harga RM26,000 untuk membeli Abu sebaik lembunya itu dinobatkan sebagai Raja Lembu Sado Pantai Timur pada Pertandingan King Of Sado Terbuka Pantai Timur yang diadakan Oktober lalu.

“Jika diikutkan memang tinggi harga ditawarkan dan sukar untuk menolaknya tetapi saya serta bapa, Sasfarizan Kasim, 43, menolak tawaran itu dengan baik kerana masih sayangkan Abu.

“Kami ingin membawa Abu menyertai pertandingan di seluruh negara dan Abu akan menyertai Pameran Lembu Sado di Plaza Angsana, Johor Bahru pada 28 November ini.

“Abu sekarang berusia tiga tahun dan kemenangan Abu di pertandingan terbesar di Pantai Timur menyebabkan ia digilai ramai penternak lembu sado,” katanya.

Katanya, dia tidak menyesal membelanjakan wang simpanan sebanyak RM15,000 untuk membeli Abu kerana lembunya itu boleh dijual dengan harga yang lebih mahal.

“Proses jual beli lembu sado ini seperti pelaburan, keuntungan akan diperoleh dalam jangka masa panjang kerana harganya semakin tinggi selagi ia membesar dan beratnya bertambah.

“Abu menjadi istimewa bukan kerana ia besar tetapi kerana bentuknya yang unik dan berotot selain mempunyai bulu yang cantik sekali gus menjadikan ia sesuai dijadikan lembu pertandingan,” katanya.

Menurutnya, dia memperuntukkan RM530 sebulan untuk membekalkan makanan yang sihat untuk Abu dan 16 ekor lagi lembu baka yang diternaknya bersama bapa.

“Abu dimandikan tiga kali sehari untuk memastikan ia sentiasa segar selain makanan yang dibekalkan perlu mencukupi supaya saiznya tidak menyusut,” katanya.

Sementara itu, Sasfarizan berkata, dia dan anaknya itu mula menternak lembu baka sado sejak 2017 selepas menyedari permintaan terhadap ternakan itu semakin meningkat.

“Sebelum ini, kami menternak sebanyak 40 ekor lembu kampung namun menjualnya dan membeli lembu baka. Ternyata percaturan kami tepat kerana permintaan terhadap lembu baka semakin meningkat.

“Lembu baka sado bukan sahaja dibeli untuk tujuan hobi tetapi untuk dagingnya kerana kuantiti dagingnya lebih banyak dan sedap,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 8:34 AM