BASIKAL mangsa. FOTO Nur Saliawati Salberi
BASIKAL mangsa. FOTO Nur Saliawati Salberi
Nur Saliawati Salberi


PENUNGGANG basikal maut selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Tun Ali, di Melaka, semalam.

Dalam kejadian 6.20 petang itu, mangsa, lelaki dipercayai berusia 50-an dan tiada dokumen pengenalan diri.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan apabila basikal ditunggang mangsa dirempuh kereta dipandu pelajar wanita berusia 23 tahun.

Beliau berkata, sebelum kemalangan, kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah Jalan Hang Tuah menghala ke Taman Lagenda.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa dikatakan tiba-tiba masuk ke lorong kiri dari bahu jalan sebelah kanan.

“Basikal mangsa kemudian dirempuh oleh kereta berkenaan yang berada di belakangnya. Akibat rempuhan itu, mangsa meninggal di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Hasan Basri berkata, pemandu kereta kemudian diarahkan untuk diambil sampel darah bagi pemeriksaan alkohol dan dadah.

“Sehingga kini (pagi) identiti mangsa belum dikenal pasti dan berdasarkan pemeriksaan fizikal dipercayai orang tempatan.

“Usaha mengesan waris sedang dijalankan dan polis meminta sesiapa yang ada kehilangan ahli keluarga atau kenalan untuk hadir ke Balai Polis Trafik Melaka Tengah untuk proses pengecaman,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat selain kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 9:55 AM