PRODUK kraf yang dirampas. FOTO Ihsan MAQIS Kedah
PRODUK kraf yang dirampas. FOTO Ihsan MAQIS Kedah
Zuliaty Zulkiffli


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kedah merampas 40 unit produk kraf berasaskan buluh dan rotan di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa, Langkawi, hari ini.

Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalind Pakianathan berkata, hasil pemeriksaan mendapati produk kraf berasaskan buluh dan rotan itu tidak mempunyai permit import (IP) sah yang dikeluarkan oleh Jabatan MAQIS dan Sijil Fitosanitasi dari negara asal.

Beliau berkata, produk itu dibawa masuk dari Bali, Indonesia ke negara ini.

“Nilai rampasan dianggarkan RM800 dan tujuan dibawa masuk ke sini adalah untuk dijual di pasaran tempatan.

“Kesemua barangan rampasan dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lily Rosalind berkata, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit import yang sah daripada Jabatan MAQIS adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

Katanya, sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta yang sama, di mana denda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

“MAQIS sentiasa peka dan bersedia melaksanakan tanggungjawab mengawal kemasukan konsainan barangan keluaran pertanian di semua pintu masuk negara bagi memastikan keselamatan makanan, haiwan, tumbuhan, manusia dan menjamin industri pertanian negara dalam keadaan yang baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 11:51 AM
Digital NSTP Subscribe