SALAHUDDIN Ayub. FOTO arkib NSTP
Mohd Sabran Md Sani


POLIS tidak menolak kemungkinan memanggil Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berbuhung laporan klip video didakwa berbaur perkauman.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, pemimpin terbabit tidak terkecuali untuk dipanggil bergantung pada siasatan.

“Tengok pada keadaan (hasil siasatan) nanti (sama ada dipanggil atau tidak) dan ia masih dalam siasatan.

“Bagaimanapun kita (polis) akan mempercepatkan siasatan,” katanya ketika dihubungi bagi memperincikan laporan polis terhadap menteri terbabit.

Beliau berkata, polis menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat semua laporan yang menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Kita (polis) ada pasukan siasat di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang terbabit dengan laporan dibuat (berkaitan kempen).

“Kita akan buat siasatan (laporan polis diterima) dan akan ada pasukan khas mempercepatkan siasatan,” katanya.

Terdahulu beliau mengulas berhubung laporan polis yang dibuat Pemuda Barisan Nasional (BN) di Ibu Pejabat Polis (IPD) Pontian, berhubung penularan klip video berkenaan.

Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai semakin panas, susulan laporan polis dibuat gabungan Pemuda BN terhadap Salahuddin pada 5 November lalu.

Laporan polis bersama membabitkan Pergerakan Pemuda MCA, MIC dan PAS itu susulan tular video yang didakwa berbaur perkauman, menghasut, kebencian kaum serta boleh mengancam kestabilan kaum membabitkan pemimpin terbabit.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 12:42 PM