LELAKI yang didakwa menumbuk ibunya kerana mandi bogel. FOTO Imran Makhzan.
Zatul Iffah Zolkiply


PENGANGGUR didakwa di Mahkamah Majistret, Kuala Terengganu, hari ini kerana menumbuk badan ibunya selepas tidak berpuas hati warga emas itu mandi bogel.

Tertuduh yang berusia 42 tahun berasal dari Ajil, Hulu Terengganu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menumbuk belakang badan ibunya berusia 68 tahun dan menggenggam tangan kiri warga emas itu sehingga kesakitan selepas memarahi ibunya kerana mandi bogel.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Ajil pada 10 malam, 1 November lalu, dan sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum Majistret Abdul Hayyi Salim menetapkan 4 Disember depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Kuala Berang.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 2:58 PM