DOLLAH melihat mengemas barang di rumah sewanya. (Gambar kanan) Dollah menunjukkan atap bocor. FOTO Nur Saliawati Salberi
DOLLAH melihat mengemas barang di rumah sewanya. (Gambar kanan) Dollah menunjukkan atap bocor. FOTO Nur Saliawati Salberi
Nur Saliawati Salberi


“JIKA ini sudah takdir hidup, saya reda menghabiskan sisa usia tua seorang diri di sini.

“Alhamdulillah, walaupun usia sudah 85 tahun, saya masih diberikan kesihatan baik untuk menguruskan diri sendiri,” kata warga emas, Dollah Muhamad yang tinggal menyewa seorang diri di rumah kecil di Kampung Ujong Pasir, Melaka.

Warga emas itu kini tinggal seorang diri selepas isterinya meninggal dunia 25 tahun lalu dan menjadikan beberapa kucing serta ayam sebagai teman.

Menurut Dollah, walaupun menyedari keadaan kediaman didiaminya itu sudah usang selain bumbung bocor, dia akan terus menghabiskan hari tuanya di situ kerana banyak tersimpan kenangan bersama arwah isterinya di rumah itu.

Bercerita mengenai anaknya, bapa kepada empat anak itu berkata, dia lebih selesa tinggal bersendirian daripada menyusahkan mereka yang turut mempunyai keluarga.

“Berbekalkan kudrat masih ada, saya mampu menguruskan diri serta memasak. Sekiranya demam atau tidak sihat saya akan meminta rakan untuk hantar ke klinik.

“Untuk mencari duit tambahan, setiap pagi saya akan tolong jiran mengupas kelapa dan selepas itu hanya berehat di rumah,” katanya yang menyewa rumah berkenaan dengan kadar sewa RM250 sebulan.

Menurutnya, selain diberikan upah, jirannya turut memberi makan dan minum kepadanya, malah dia turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Tidak perlu ke rumah orang tua kerana saya rasakan di sini lebih baik dan biarlah saya pun meninggal di sini.

“Jika ada pihak sudi membantu, harapan saya agar atap zink yang kebanyakan sudah bocor dapat digantikan, itu sudah memadai,” katanya sambil menahan sebak.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Azman Aziz berkata, pihaknya sudah berkunjung ke rumah warga emas berkenaan dan mendapati dia tinggal dalam keadaan uzur serta dalam persekitaran kurang sihat.

“Susulan itu MAIM sudah meluluskan empat bantuan kepada warga emas terbabit iaitu bantuan makanan bulanan, sewa rumah, sakit kronik, kecemasan serta bantuan Ramadan dan Aidilfitri.

“Semua kelulusan itu berkuat kuasa bermula November tahun ini sehingga Oktober 2020,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 6:14 PM