Anggota bomba berusaha mengeluarkan mekanik yang dihempap kereta dibaikinya di sebuha bengkel di Kampung Seri Selamat di Sitiawan hari ini. Foto ihsan JBPM
Noor Hidayah Tanzizi


MEKANIK cedera di kepala selepas dihempap kereta dibaikinya di Kampung Seri Selamat di Sitiawan hari ini.

Dalam kejadian pada 4.10 petang itu, mangsa yang berusia 52 tahun tersepit di bawah kenderaan terbabit sebelum diselamatkan anggota bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan Mohd Zaki Zainol berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.17 petang sebelum lima anggota ke lokasi.

Menurutnya, mangsa sedang membaiki kereta di bengkel tempatnya bekerja ketika kejadian itu.

“Namun jek (pengangkat) yang digunakannya tumbang dan menyebabkan kereta itu terjatuh serta bahagian bawah enjin menghempap kepala mangsa.

“Mangsa tersepit di bawah kereta dan tidak dapat bergerak, namun dia masih sedar serta boleh memberi tindak balas ketika operasi menyelamat dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Zaki berkata, anggota bomba mengambil masa lima minit untuk mengeluarkan mangsa.

Menurutnya, lelaki itu kemudiannya diserahkan kepada pihak perubatan dan dibawa ke hospital dengan ambulans untuk menerima rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 7:12 PM