Sebahagian koko belum proses yang dirampas MAQIS di di Pelabuhan Tanjung Pelepas, pada 3 petang semalam. Foto Ihsan MAQIS


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor menahan 12 kontena membawa koko yang belum proses di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor Bahru pada 3 petang semalam.

Pengarah MAQIS Johor Nur Afifah A Rahman berkata, tiga pegawai MAQIS melakukan pemeriksaan di pelabuhan berkenaan sebelum menemui 12 kontena dipenuhi koko sebanyak 305,344 kilogram yang cuba dibawa masuk tetapi sudah tercemar dengan serangga perosak.

“Selain itu, pemeriksaan mendapati semua koko itu tidak menepati syarat pengimportan bagi memenuhi syarat permit import dikeluarkan MAQIS.

“Hasil pemeriksaan kami menganggarkan nilai kesemua koko itu adalah RM2.6 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) dan 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

“Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM150,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Menurutnya, MAQIS sentiasa memantau dan memeriksa setiap pintu masuk negara bagi menjaga biosekuriti dan keselamatan makanan untuk memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.

Katanya, ia bagi memastikan sektor pertanian, kesihatan manusia, haiwan, tumbuhan dan ikan tidak terjejas akibat pengimportan bahan yang dilarang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 10:19 PM