Bas yang merempuh mangsa tersadai selepas melanggar tembok batu rumah di persimpangan Jalan Dato Ismail Hasyim di Bayan Lepas petang semalam. Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
Shamsul Munir Safini


PENUNGGANG motosikal yang maut dirempuh bas dalam kemalangan di persimpangan Jalan Dato Ismail Hasyim di Bayan Lepas petang semalam, adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ara dan bekerja separuh masa di sebuah restoran makanan segera.

Mangsa, Muhammad Saifullah Muhammad Hafeiz, 16, dikatakan bekerja sebagai penghantar makanan restoran makanan segera berkenaan.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan menghantar pesanan pizza pelanggannya dan berhenti di persimpangan lampu isyarat itu sebelum bas dipandu lelaki berusia 49 tahun merempuh dan menggilisnya.

Kejadian pada 6.30 petang itu turut membabitkan sebuah lagi motosikal dan dua kereta.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan A A Anbalagan berkata, seorang pemandu kereta dan dua anaknya yang menaiki kereta Suzuki Swift turut cedera dalam kejadian itu.

“Mereka diberi bantuan sejurus kejadian oleh pihak berkuasa dan wanita serta dua anaknya dibawa ke hospital,” katanya.

Menurut Anbalagan, berdasarkan maklumat awal didapati bas berkenaan yang datang dari arah Persiaran Kelicap ke Bayan Lepas pada mulanya bergesel dengan sebuah kereta yang parkir di tepi jalan sebelum melanggar Suzuki Swift terbabit yang sedang membelok ke kanan.

“Selepas itu, bas yang dipercayai gagal dikawal melanggar sebuah lagi motosikal parkir di bahu jalan sebelum ke lampu isyarat Jalan Dato Ismail Hasyim.

“Sebaik sampai di persimpangan itu, bas terbabit melanggar motosikal mangsa yang sedang berhenti di lampu isyarat sebelum merempuh tembok batu pagar perumahan berdekatan,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan awal polis dipercayai bas berkenaan hilang kawalan disebabkan masalah brek dan pemandunya kini ditahan dan akan menjalani ujian saringan awal air kencing.

Berita berkaitan

Maut dirempuh bas [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 12:43 AM