WENDY (lima dari kiri) menyertai senamrobik di Padang Awam Pontian, semalam.
Oleh Mohd Sabran Md Sani


WAJAH kacukan Cina dan India yang dimiliki calon Gerakan, Wendy Subramaniam, 38, menyebabkan dia sentiasa menjadi perhatian ketika bersama orang ramai dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

“Mereka kata saya cantik. Saya hanya mampu membalas pujian itu dengan ucapan terima kasih,” katanya ketika ditemui selepas senamrobik di Padang Awam Pontian di sini, semalam.

Kata ibu kepada dua anak itu, dia mungkin bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga campuran kerana ibunya berketurunan Cina dan bapanya India.

“Jadi inilah hasilnya (anak kacukan), tetapi bagi saya rakyat Malaysia sememangnya cantik dan jika bersatu, sudah pasti kecantikan itu akan lebih terserlah.

“Pada saya kita jangan bercakap mengenai bangsa, tetapi bercakap mengenai Malaysia dan sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Ditanya mengenai cara menguruskan diri, selain mengekalkan kecantikan serta kesihatan, Wendy berkata, setiap hari dia akan minum air masak dalam kuantiti banyak, rehat mencukupi dan bersenam.

Bahkan katanya, dia tidak makan terlalu banyak biarpun sedap.

“Saya tak makan banyak. Makan sekadar cukup. Biarpun makanan itu sedap tapi jangan makan dengan terlalu banyak,” katanya.

Menurut Wendy dia bertuah kerana ada keluarga yang sentiasa menjadi tulang belakang pada PRK Tanjung Piai.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 7:30 AM