GAMBAR hiasan
BERNAMA

MAYAT lelaki tanpa identiti yang mulai kembung ditemukan di dalam Sungai Kim Kim, berhampiran sebuah kolam memancing di Jalan Cermai, Taman Kota Masai dekat Pasir Gudang.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Ismail Dollah berkata, mayat mangsa dipercayai warga tempatan dianggarkan berusia lewat 40 tahun itu dijumpai orang awam pada 11.41 pagi Rabu lalu.

Katanya, ketika ditemui mangsa hanya berseluar trek berwarna hitam.

“Mayat mangsa berjaya dikeluarkan daripada kawasan sungai tersebut dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Bagaimanapun, pemeriksaan awal pasukan forensik terhadap mayat tidak menjumpai sebarang tanda kecederaan yang boleh dikaitkan dengan kejadian jenayah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, ciri-ciri fizikal mangsa antaranya mempunyai susuk tubuh tegap, ketinggian 170 sentimeter, berkulit cerah dan anggaran berat 90 kilogram.

“Kesan parut suntikan vaksin Bacille Calmette Guerin (BCG) juga tidak dapat dilihat kerana keadaan mayat sudah kembung,” katanya.

Beliau berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Ismail berkata, dalam masa sama pihak polis memohon bantuan orang ramai sekiranya mempunyai maklumat mengenai mangsa atau ada saudara-mara yang hilang dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di talian 07-3864222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 10:53 AM