Fardy Bungga


DUA individu di Papar dirakam membelasah seorang lelaki dalam rakaman video yang tular sejak semalam, sudah ditahan polis.

Dalam rakaman video berdurasi satu minit 39 saat itu, mangsa dipercayai dibelasah kerana kononnya dituduh merogol seorang wanita yang turut kelihatan di dalam rakaman berkenaan.

Bagaimanapun, difahamkan wanita terbabit tidak pernah membuat laporan polis berhubung tuduhan berkenaan.

Dua lelaki berusia 30-an yang membelasah mangsa itu juga dikatakan bukan ahli keluarga kepada wanita itu, sebaliknya dipercayai hanya masuk campur dalam kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata, mangsa yang dibelasah berusia 30-an membuat laporan polis sejurus selepas kejadian Rabu lalu.

Katanya, mangsa sudah dirujuk ke Hospital Papar untuk mendapatkan rawatan kecederaan yang dialami sebelum diambil keterangan untuk membantu siasatan lanjut.

“Kedua-dua lelaki yang membelasah mangsa sudah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Batholomew berkata, pihaknya juga sudah merujuk hasil siasatan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 11:01 AM
RAKAMAN kejadian yang tular di media sosial.