KEADAAN bengkel berkenaan yang berselerak selepas dipecah masuk pencuri yang melarikan pelbagai komponen motosikal dianggarkan bernilai RM30,000. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


PEMILIK bengkel di Jalan Trompet, di Bukit Beruntung, kerugian RM30,000 selepas komponen motosikal di dalam premis itu disedari dipecah masuk, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Azman Ab Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu oleh pemilik bengkel berkenaan berusia 27 tahun kira-kira 5 petang.

“Menurut mangsa, dia meninggalkan bengkel berkenaan dalam keadaan baik dan berkunci kira-kira 12 tengah malam pada Isnin lalu.

“Ketika mangsa pergi ke bengkel terbabit kira-kira 1 tengah hari (semalam), dia mendapati pelbagai komponen motosikal di dalam premis itu hilang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman berkata, hasil pemeriksaan dilakukan suspek dipercayai masuk ke dalam bengkel itu melalui bahagian belakang dengan memecahkan dinding.

“Antara komponen yang dilaporkan hilang adalah 13 set ekzos, 12 set ‘sport rim’, satu set cover motosikal Yamaha LC1R, enam tayar, dua ‘hub alloy’, satu set mono absorber, 50 ‘bush alloy’ dan 12 tempat duduk ‘king drag’ yang dianggarkan berjumlah RM30,000.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi satu minit tujuh saat menunjukkan dinding dipecahkan pencuri dan keadaan bengkel berkenaan selepas dipecah masuk yang tular selepas dimuat naik di media sosial sejak malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 1:18 PM