Norasikin Daineh


SERAMAI 20 penduduk Kampung Bambangan, di Membakut, dipindahkan sementara ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bambangan selepas kawasan rumah mereka dinaiki air, semalam.

Bagaimanapun, selepas hampir lima jam berada di pusat pemindahan terbabit, mangsa yang terdiri daripada empat keluarga itu dihantar pulang semula ke rumah masing-masing berikutan keadaan banjir mulai surut kira-kira 2 pagi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Kimanis menerima panggilan kecemasan pada 9 malam dan seramai enam anggota bersama sebuah kenderaan utiliti bersama sebuah bot dikejar ke lokasi.

“Dilaporkan empat keluarga membabitkan 12 lelaki dan lapan wanita dibawa keluar dari Kampung Bambangan ekoran banjir di kawasan berkenaan.

“Dalam operasi ini, seorang daripada mangsa banjir adalah wanita sarat mengandung dan pasukan bomba bertindak menghantar mangsa ke klinik berhampiran di Beaufort,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya lagi, operasi kemudian ditamatkan pada 2.30 pagi selepas air mulai surut dan semua mangsa dihantar pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu, Pegawai Daerah Beaufort, Jupry Etok ketika dihubungi berkata, sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Selagon, Beaufort, dibuka namun belum ada mangsa dipindahkan setakat ini.

“Sebanyak lapan kampung terjejas dinaiki air iaitu Kampung Bambangan, Kampung Sinoko, Kampung Sindok, Kampung Lumantak, Kampung Baitam Laut, Kampung Jambatan Baru dan Kampung Kayai.

“Tiada penduduk dipindahkan setakat ini, namun pemantauan dilakukan oleh beberapa agensi keselamatan dan mereka sedang bersiap sedia sekiranya berlaku pemindahan berikutan paras air Sungai Membakut ketika ini berada di paras bahaya.

“Penduduk juga disarankan berpindah segera ke PPS Selagon sekiranya rumah mereka dinaiki air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 1:47 PM
ANGGOTA APM melakukan pemantauan di beberapa kampung di Membakut. FOTO Ihsan Bomba