KARMAINE berkonvoi menaiki motosikal ketika Program Menyantuni Komuniti di Kampung Parit Wer Telok Kerang Pontian. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Mohd Sabran Md Sani


PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) dijangka turun padang dalam masa terdekat, untuk membantu kempen calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Ketua Penerangan PKR Pusat Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akim berkata, kehadiran beberapa mereka pada minggu kedua kempen juga sudah disahkan.

Katanya, komitmen ditunjukkan kepemimpinan tertinggi itu akan menjadi suntikan semangat buat calon, Karmaine Sardini, 66, sekali gus pastikan kemenangan PH.

“Pemimpin utama termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ke Tanjung Piai minggu ini.

“Bagi Presiden PKR (Anwar), beliau akan hadir pada Isnin (11 November) bermula 6 petang sehingga 12 tengah malam untuk bertemu pengundi dan berceramah,” katanya pada sidang media selepas program ramah mesra bersama pengundi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Telok Kerang, Pontian, hari ini.

Shamsul Iskandar yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Utama berkata, kekangan masa berikutan persidangan Dewan Rakyat menyebabkan pemimpin utama PH bergilir membantu kempen.

“Insya Allah jentera PH akan terus berusaha gigih pada minggu terakhir malah semakin ramai yang sedia membantu di sini.

“Maklum balas diterima menyatakan sebanyak 30 peratus pengundi di Tanjung Piai masih belum membuat keputusan, berada di atas pagar dan hanya membuat pilihan pada saat akhir,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai pada 16 November ini menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Karmaine, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Wendy Subramaniam (GERAKAN), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Barisan Jemaah Islamiah (BERJASA) serta dua calon bebas iaitu pengasas pusat tuisyen, Dr Ang Chuan Lock dan ahli perniagaan, Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Ia diadakan susulan kematian penyandang, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari PH pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 6:27 PM