PAKET daging kerbau dirampas di Pelabuhan Kuantan, semalam kerana tidak mematuhi syarat import dan tiada logo halal. FOTO ihsan MAQIS.
PAKET daging kerbau dirampas di Pelabuhan Kuantan, semalam kerana tidak mematuhi syarat import dan tiada logo halal. FOTO ihsan MAQIS.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pahang menahan 1,443 karton daging kerbau dari India di Pelabuhan Kuantan, Kuantan, semalam.

Pengarah MAQIS Pahang/Terengganu, Nur Syazwina Abdul Somad berkata, daging kerbau berkenaan seberat 115,447 kilogram dan bernilai RM1.5 juta.

Beliau berkata, anggota penguat kuasa yang melakukan pemeriksaan rutin pada 4 petang itu menemui konsainan daging berkenaan yang cuba dibawa masuk ke negeri ini.

“Hasil pemeriksaan mendapati konsainan berkenaan tidak mematuhi syarat import seperti ditetapkan MAQIS.

“Malah, ia gagal mempamerkan logo halal daripada badan halal diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada plastik dan kotak pembungkusnya,” katanya dalam satu kenyataan di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, perbuatan itu menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(2) akta sama.

Menurutnya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“MAQIS sentiasa mengambil serius dalam isu membabitkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam keselamatan makanan.

“Kami sentiasa peka dan bertanggungjawab mengawal kemasukan konsainan barangan keluaran pertanian di semua pintu masuk negara bagi memastikan keselamatan makanan, haiwan, tumbuhan, manusia bagi menjamin industri pertanian dalam keadaan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 7:35 PM
Digital NSTP Subscribe