X
KOTAK mengandungi rokok ditutupi kanvas dalam ladang kelapa sawit di Tanjung Sepat, Banting. FOTO IHSAN PGA
KOTAK mengandungi rokok ditutupi kanvas dalam ladang kelapa sawit di Tanjung Sepat, Banting. FOTO IHSAN PGA
Hidayatul Akmal Ahmad


PASUKAN Gerakan Am (PGA) merampas 2,490,000 batang rokok bernilai RM871,500 di Tanjung Sepat Banting, Selangor dalam Op Nyah 1 Selangor, hari ini.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Zulafendy Hassan berkata, dalam operasi bermula 1 pagi, pihaknya melakukan rondaan diketuai seorang pegawai dan 12 anggota di ladang kelapa sawit Ladang Tumbok.

“Pasukan menemui longgokan kotak disusun di atas tanah dan ditutupi kanvas dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota rondaan seterusnya membuat pemantauan dan pemeriksaan mendapati tiada sebarang pergerakan atau individu mencurigakan di lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemui 249 kotak mengandungi rokok dipercayai diseludup.

“Setiap kotak mengandungi 50 karton manakala setiap karton mengandungi 10 kotak rokok 20 batang atau 200 batang setiap karton,” katanya dalam satu kenyataan.

Semua rampasan kemudian dibawa ke Balai Polis Tanjung Sepat untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 8:25 PM