ANGGOTA bomba memadam kebakaran van yang menyebabkan dua mangsa rentung dalam kemalangan di KM 262.3 PLUS arah utara dekat Seremban, Rabu lalu. FOTO ihsan bomba.


POLIS sudah mengenalpasti identiti dua lelaki rentung selepas van dinaiki mereka terbabas dan terbakar dalam kemalangan di Kilometer KM262.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran susur ke Seremban/Labu, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, pihaknya berjaya mengesan waris seorang daripada mangsa dan membuat pengecaman melalui padanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Beliau berkata, seorang lagi mangsa dipercayai lelaki berbangsa Cina dan berasal dari Kedah berdasarkan dokumen ditemui di lokasi kejadian.

“Polis mengesan waris iaitu seorang wanita Melayu dipercayai ibu kepada salah seorang mangsa hari ini.

Pihak waris hadir ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban untuk memberi bantuan bagi pengecaman identiti mangsa melalui sampel DNA.

“Kami masih sedang giat mengesan waris bagi mangsa kedua iaitu seorang lelaki Cina. Mangsa dipercayai bernama Kiew Ah Lai berumur 55 tahun berasal dari Kedah berdasarkan penemuan lesen memandu di kawasan kemalangan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memohon saksi kejadian supaya tampil membantu memberi keterangan.

Menurutnya, polis turut memohon waris kepada Kiew supaya tampil bagi membantu siasatan dan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Fadzilah Ahmad di talian 06-6033394 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

Portal berita Harian Metro pada Rabu lalu melaporkan, polis sukar mengenalpasti identiti mayat dua mangsa yang rentung kemalangan.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, kenderaan dinaiki mangsa terbabas ke kiri lebuh raya dan terjunam ke longkang sebelum terbakar.

Berita berkaitan

'Dua lelaki rentung van terbakar'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 9:40 PM