NOOR Azman (tengah) bersama minuman keras yang dirampas di Taman Perindustrian Kota Puteri. FOTO ihsan PPM
Izlaily Nurul Ain Hussein


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor merampas minuman keras dianggar bernilai lebih RM2 juta termasuk sebuah lori dalam serbuan di Taman Perindustrian Kota Puteri, Masai 12.25 tengah hari kelmarin.

Pemangku Komander PPM Wilayah Dua Johor, Superintendan Noor Azman Jamal berkata, pihaknya mematahkan cubaan sindiket menyeludup minuman keras tidak sah, hasil maklumat diterima dan intipan yang dijalankan.

“Dalam serbuan diketuai seorang pegawai dan lima anggota PPM Wilayah Dua Johor dibantu empat anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, kami menahan lori di kawasan terbabit.

“Hasil pemeriksaan dibuat pasukanmenemui sejumlah kotak mengandungi minuman keras dipercayai tidak lulus kastam,” katanya.

Beliau berkata, rampasan minuman keras dan kenderaan itu membabitkan anggaran nilai RM2,262,813.40.

“Kita turut menahan pemandu lelaki berusia 42 tahun bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Pada masa sama, beliau menggesa orang ramai memberi kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan barang larangan seperti rokok, minuman keras, mercun dan dadah melalui talian 07-2372221 atau 07-2372222.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 11:00 AM