Azzman Abdul Jamal


YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, menyeru supaya al-Quran dan Sunnah yang ditinggalkan Rasulullah SAW dijadikan sebagai panduan utama bagi membentuk nilai murni dan akhlak dalam kalangan umat Islam.

Baginda bertitah, kejayaan sesuatu tamadun tidak hanya terletak pada kekuatan ketenteraan dan ekonomi yang kukuh semata-mata tetapi juga pada keperibadian mulia masyarakatnya.

Dalam titahnya, baginda melahirkan rasa dukacita atas perbuatan jenayah membabitkan rasuah, penipuan dan salah guna kuasa dalam kalangan orang Islam.

Titah baginda, statistik jenayah di Negeri Sembilan menunjukkan 90 peratus tangkapan dibuat ke atas kesalahan penyalahgunaan dadah, rogol dan sumbang mahram adalah juga membabitkan kalangan rakyat Islam.

“Remaja Islam pula dikaitkan dengan gejala sosial seperti mat rempit dan yang terbaru, (aktiviti) basikal lajak. Inilah akibat daripada lunturnya adab kesopanan dan tatasusila apabila jiwa insan tidak disuntik dengan pendidikan akhlak.

“Mereka yang tidak mempelajari ilmu berkaitan keimanan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW serta akhlak Baginda akan memberi kesan negatif kepada diri.

“Ketakwaan kepasa Allah SWT dan kecintaan kepada Rasulullah SAW akan menghasilkan umat yang mempunyai akhlak terpuji,” titahnya pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.

Turut mencemar duli dua anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin, serta Tunku Zain Al’Abidin.

Turut hadir, Undang Yang Empat dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sementara itu, kira-kira 3,000 peserta kontinjen terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta, badan berkanun, badan beruniform, pertubuhan bukan kerajaan, pelajar daripada institusi pengajian tinggi dan sekolah turut menyertai perarakan Maulidur Rasul bermula 9 pagi.

Perarakan membabitkan 93 kontinjen diketuai Tuanku Muhriz bermula di Padang MPS sehingga Padang Sekolah Menengah Kebangsaan King George V kira-kira sejauh 600 meter.


TUANKU Muhriz berkenan menghadiri perarakan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan 2019. Turut bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. FOTO Adzlan Sidek

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 12:22 PM