ANTARA kawasan dilanda banjir di Rantau Panjang tahun lalu. FOTO arkib NSTP
Syaherah Mustafa

LEBIH 7,000 penduduk di Rantau Panjang dijangkakan berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS) jika banjir melanda hujung tahun ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Pasir Mas, Kapten (PA) Mohd Arif Mohd Zain berkata, bilangan mangsa bertambah melebihi 2017 jika bencana yang berlaku lebih besar daripada tahun sebelum ini berikutan pembinaan benteng penahan banjir di sebelah Thailand.

Katanya, penduduk terutama berdekatan Sungai Golok perlu sentiasa bersedia dan berwaspada terutama apabila berlaku peningkatan paras air Sungai Golok.

“Biasanya penduduk di sepanjang sungai diarahkan berpindah ke pusat pemindahan banjir terdekat apabila air sungai mencecah paras bahaya iaitu sembilan meter manakala Sungai Golok melimpah apabila paras mencecah lebih 10 meter.

“Seramao 120 anggota APM dari Pasir Mas dan Rantau Panjang sentiasa dalam keadaan bersiap sedia untuk membantu masyarakat yang ditimpa bencana terbabit.

“Malah, kami sudah menjalankan beberapa siri latihan sebagai persiapan selain mengambil langkah awal menghantar bot ke beberapa kawasan rendah yang dinaiki air seperti di Kampung Rahmat, Kampung Lubok Stol dan Kampung Bakong, di sini,” katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan di Sungai Golok, semalam.

Mohd Arif berkata, pihaknya turut menjalankan kerjasama baik dengan agensi keselamatan lain termasuk pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Kelantan.

“APM bertanggungjawab menjalankan kerja menyelamat selain bertindak sebagai sekretariat yang mengumpul data mangsa banjir yang berpindah.

“Kami juga akan bertindak mengikut arahan komander operasi selain sentiasa peka dengan arahan pusat kawalan tempat kejadian (PKTK),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 1:06 PM