ABDUL Rahman (dua kiri) menyampaikan Anugerah Qudwatur Rasul Shabab kepada Nor Qaiyum (kanan). FOTO Mikail Ong
Nur Izzati Mohamad

RESTORAN makanan ala barat yang tular di media sosial, Pak Mat Western menerima Anugerah Qudwatur Rasul Shabab sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Pulau Pinang di Masjid Al Ihsaniah, Simpang Ampat, hari ini.

Nor Qaiyum Muhamad,25, antara pemilik restoran berkenaan mewakili menerima anugerah itu daripada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dr Abdul Rahman Abbas.

Menyingkap perjalanan ketika mengusahakan restoran berkenaan, Nor Qaiyum berkata, bermula dengan hanya enam meja makan dan menumpang sebuah gerai di Bukit Minyak, Juru kini dia boleh tersenyum melihat kejayaan yang diperoleh apabila premisnya dikunjungi kira-kira 500 pelanggan setiap hari.

“Berkat dan ketekunan dengan menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai idola dalam perniagaan semua yang diatur ketika mula berniaga menjadi mudah.

“Syukur nama Pak Mat Western hari ini dikenali dan mendapat liputan meluas media cetak serta elektronik hingga tular di media sosial.

“Ia adalah satu inspirasi untuk saya bersama adik beradik lain berusaha dengan lebih baik pada masa akan datang sekali gus menyumbang kepada pengukuhan ekonomi umat Islam,” katanya.

Sehingga hari ini, Pak Mat Western beroperasi dengan 70 kakitangan dalam memberikan perkhidmatan dan makanan terbaik kepada pelanggan mereka.

Pada masa sama, restoran berkenaan turut melebarkan sayap perniagaannya di Skudai, Johor selain akan memperbesarkan perniagaan di Juru dengan membeli sebuah kedai tiga tingkat bernilai RM5 juta.

Nor Qaiyum berkata, dia yang tidak berpelajaran tinggi tidak pernah putus asa memajukan diri dan membangunkan perniagaan secara perlahan-lahan atas usaha sendiri tanpa membuat pinjaman bank.

“Dalam perniagaan menurut Islam, kita tidak boleh tergesa-gesa dan mengejar keuntungan semata-mata sebaliknya belajar menambah ilmu supaya perniagaan kita dapat pergi jauh.

“Sekarang Pak Mat Western menerima kejutan apabila pelanggan tidak henti berkunjung dan memerlukan kami berpindah ke lokasi lebih strategik untuk menampung bilangan pelanggan yang semakin bertambah,” katanya.

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Pulau Pinang menobatkan Ahli Jawatankuasa Biro Pendidikan Zakat Pulau Pinang, Ahmad Fahmi A Bakar sebagai Tokoh Maulidur Rasul.

Selain itu, Anugerah Khas Qudwatur Rasul Kemasyarakatan disandang oleh Dr Mohamed Amir Shah Abd Aziz, Anugerah Khas Qudwatur Rasul Inovasi dan Keusahawanan; Mazwan Noor, Anugerah Khas Qudwatur Rasul Pendidikan; Dr Ahmad Majdi Yusoff dan Anugerah Khas Qudwatur Rasul Saudara Kita; Muhammad Faiz Ghan Abdullah.

Lebih 1,000 individu membabitkan kakitangan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) mengambil bahagian dengan berarak sejauh dua kilometer sejak 8.30 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 1:53 PM