MUHYIDDIN (dua kiri) selepas menghadiri majlis Sambutan Maulidur Rasul di Pekan Nenas, Pontian. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani


“KITA ada cara menilai sokongan rakyat,” kata Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengulas sokongan pengundi fasa pertama kempen yang dilihat lebih dominan kepada Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, apa bukti yang boleh mengatakan kempen dan sokongan pengundi di kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) terarah kepada BN.

“Ramai orang datang ceramah? Saya tidak mahu kira sama ada berdasarkan respon kepada gerak kerja kita (Pakatan Harapan) ke atau ceramah kita ke?

“Kita ada cara menilai sokongan rakyat, tidak hanya kehadiran mereka (penyertaan dalam kempen), tapi dengan pelbagai cara dan sudah dilakukan sebelum daripada ini (sebelum penamaan calon dan kempen).

“Kita tahu di mana kedudukan kita tapi sebagaimana saya katakan, kita tidak boleh terlalu yakin sudah tentu menang.

“Semua rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) yang bekerja, mereka tahu situasi agak dinamik dalam mana-mana pilihan raya makin dengan tarikh mengundi maka situasi bertambah dinamik,” katanya pada sidang media di Pontian, hari ini.

Katanya, ia boleh dilihat dengan sokongan pengundi berubah dari masa ke semasa.

“Hari ini begini (sokongan beza), pagi lain, petang lain dan malam lain.

“Lima hari terakhir ini suatu impak besar dari segi perubahan sikap pengundi terhadap parti-parti bertanding,” katanya.

Menurutnya, ketika ini pimpinan tertinggi PH turun padang membantu calon PH bagi PRK Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66.

“Semua pemimpin tertinggi yang sudah turun dan ada yang akan turun nanti Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jadi kita akan tingkatkan pembabitan pimpinan tertinggi PH untuk memberi ruang dan peluang bagi menjelaskan secara terperinci hal-hal berkaitan kerajaan PH.

“Usaha itu bagi memberi keyakinan pengundi untuk tempoh akan datang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 2:13 PM