DUA remaja maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabas di KM383 Lebuhraya PLUS, hari ini. (Gambar kecil) Keadaan motosikal mereka selepas kemalangan. FOTO ihsan polis.
Rosman Shamsudin


DUA remaja maut selepas motosikal dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer 383 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Muallim, hari ini.

Dalam kejadian 6 pagi itu, kedua-dua mangsa iaitu Muhammad Azam Abdullah, 15, dan Nurul Insyirah Ab Aliyasok, 14, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di beberapa bahagian badan.

Muhammad Azam dipercayai menunggang motosikal Yamaha Lagenda itu sambil dibonceng Nurul Insyirah dan mereka berkonvoi bersama 12 lagi rakannya untuk menyertai Program Santai Anak Utara 2019 (SAU2019) di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru, hari ini.

Muhammad Azam adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sentosa, Hulu Selangor, Selangor yang sedang menunggu keputusan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Nurul Insyirah pula adalah pelajar tingkatan dua SMK Agama Tun Rahah, Sabak Bernam, Selangor.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal hilang kawalan sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri jalan.

“Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah.

“Siasatan setakat ini mendapati penunggang motosikal (Muhammad Azam) tidak mempunyai lesen memandu dan masih bersekolah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wan Kamarul berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 3:20 PM