Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


“AIMIN memang rapat dengan saya dan suami sejak mula dia mendaftar masuk ke pusat tahfiz ini..dia anak yang manja,” kata Siti Noor Asilah Samsuri yang juga warden sebuah pusat tahfiz di Kampung Kuala Kaung, Lanchang dekat Temerloh.

Pusat tahfiz itu menjadi perhatian sejak semalam selepas salah seorang pelajarnya, Mohammad Aimin Nurul Amin, 7, meninggal dunia dengan kesan lebam dipercayai akibat dipukul.

Siti Noor Asilah berkata, Mohamad Aimin mendaftar masuk ke pusat tahfiz itu sejak pertengahan bulan lalu bersama abang tirinya.

“Dia (Aimin) mesra dengan suami (Mohd Heesham Mat Yeh, 39) dan manja dengan saya...mungkin disebabkan dia kurang kasih sayang sebelum ini.

“Namun saya tak sangka sifatnya itu menimbulkan rasa cemburu di kalangan pelajar lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian 1 tengah hari Khamis lalu, Mohammad Aimin disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lanchang dengan kesan lebam dipercayai akibat dipukul.

Pusat tahfiz itu diusahakan suami isteri itu yang turut bertindak sebagai tenaga pengajar serta warden dan beroperasi Januari lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan hari ini mendedahkan punca kejadian disebabkan rasa cemburu pelajar lain terhadap mangsa yang dilihat lebih manja dan mesra dengan pentadbir pusat berkenaan.

Keadaan itu mencetuskan pergaduhan di antara mereka sebelum mangsa dipukul sehingga menyebabkannya mengalami lebam di bahagian dada dan abdomen seterusnya menjadi punca kematiannya.

Difahamkan kanak-kanak itu dihantar ke pusat tahfiz berkenaan oleh keluarganya atas alasan mahu mangsa mendalami ilmu agama.

Mangsa sebelum ini belajar di Sekolah Kebangsaan Charuk Puting, Temerloh sebelum berhenti sekolah memandangkan prestasi akademiknya kurang memberangsangkan.

Mohammad Aimin adalah anak tunggal hasil perkongsian hidup Nurul Amin Abdul Rahman, 36, dengan wanita yang dikatakan berketurunan banjar berasal dari Sabah.

Menurut sumber, Nurul Amin berkahwin dengan ibu tiri mangsa, Asmaliza Ahmad, 39, sejak lebih setahun lalu.

Menurutnya, Mohammad Aimin sebelum ini dijaga datuknya, Abdul Rahman Yusof, 76, di Kampung Paya Mengkuang, Temerloh sejak kecil namun diambil semula bapanya apabila kanak-kanak itu mula bersekolah.

Berita berkaitan

Cemburu rupanya...

'Periksa dulu status pusat tahfiz - TPM'

'Warden terkejut ada lebam'

'Pusat tahfiz diarah tutup'

'Pelajar tahfiz maut dipukul [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 6:29 PM