HELIKOPTER milik JBPM digunakan untuk persediaan menghadapi bencana termasuk Taufan Nakri yang dijangka melanda perairan negara ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


TAUFAN Nakri yang diramal berlaku sekitar bulan ini dijangka akan memberi tempias di perairan negara ini termasuk di Langkawi.

Berdasarkan pemantauan, taufan Matmo akan mencapai taufan kategori 3 dan bergerak pada kelajuan 140 kilometer (km) sejam dengan angin ribut 155km sejam manakala Taufan Nakri pula pada kelajuan 110km sejam.

Taufan Matmo dan Nakri yang akan membawa ribut petir, hujan lebat serta angin kencang dijangka melanda beberapa kawasan di Pulau Pinang terutama di bahagian tanah besar bermula hari ini hingga Ahad susulan tempias taufan Nakri dan Matmo.

Berikutan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan berkaitan Taufan Nakri itu.

Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, pihaknya sudah melakukan persiapan rapi termasuk dari segi aset dan keanggotaan.

Beliau berkata, selain itu, dengan adanya Fire Post yang terletak kira-kira 5km dari Pantai Chenang dijangka dapat mempercepatkan tempoh waktu penyelamatan untuk membantu mangsa di kawasan berhampiran pantai.

“Kami akan bekerjasama dengan semua agensi penyelamat dan pihak berkuasa untuk melakukan persiapan lebih rapi bagi menghadapi taufan berkenaan.

“Sekiranya kejadian berlaku, kami akan bertindak dengan lebih teratur dan sistematik dengan segala persediaan awal sudah dilakukan,” katanya ketika ditemui di Dataran Chenang, Langkawi, hari ini.

Sayani berkata, ketika banjir kilat baru-baru ini, pihaknya sudah membekukan cuti anggota yang kini masih lagi dilaksanakan untuk persediaan sekiranya berlaku bencana ketika hujung tahun ini.

Beliau berkata, mereka memang sudah bersiap siaga termasuk persediaan peralatan dan turut membuat lawatan ke tempat dijangka terjejas.

Katanya, sekiranya taufan Nakri berlaku, pihaknya akan memberi peringatan kepada penduduk setempat supaya mengambil langkah sepatutnya untuk meningkatkan keselamatan diri masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 9:30 PM