FOTO Hiasan

EMPAT individu didakwa di Mahkamah Syariah Tampin, Tampin hari ini atas pertuduhan mengajar tanpa tauliah dan bersubahat.

Keempat-empat tertuduh iaitu Ahmad Fuat Mohd Hashim, 53; Muhammad Farid Abdullah, 32; Mohd Ferdaus Abdullah, 39; dan Abdullah Inat, 62, mengaku bersalah terhadap pertuduhan masing-masing.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Fuat didakwa mengajar agama tanpa tauliah daripada Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan di sebuah rumah di Jalan Bunga Mawar, Kampung Sri Repah, Tampin, 10 malam kelmarin.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 53 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 (Pindaan 2004) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM3,000 jika sabit kesalahan.

Hakim Mohamad Yusri Kasim menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM2,900 terhadap tertuduh.

Tiga lagi tertuduh iaitu Muhammad Farid, Mohd Ferdaus dan Abdullah didakwa bersubahat melakukan kesalahan bersama Ahmad Fuat di lokasi sama dan pada masa sama.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 35 enakmen sama yang memperuntukkan hukuman seperti mana kesalahan Seksyen 53 enakmen berkenaan dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim menjatuhkan hukuman denda RM2,800 bagi setiap tertuduh.

Pendakwaan kes dikendalikan Pendakwa Syarie Kanan, Rohaizad Redzuan.

Dalam serbuan yang dilakukan penguat kuasa JHEAINS dengan kerjasama polis itu, beberapa dokumen, buku, kitab berkaitan dengan ajaran Millah Abraham turut ditemui dalam premis berkenaan.

Ketika serbuan dilakukan, seorang lelaki didapati sedang membincangkan mengenai tafsiran ayat al-Quran dan didengari oleh beberapa individu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 11:56 PM