SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menganugerahkan Darjah Seri Pahlawan Taming Sari (SPTS) kepada Abdul Hamid di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, hari ini. FOTO BERNAMA.
Shaarani Ismail


SERAMAI 19 individu menerima darjah kebesaran pada sesi pertama Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak, sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ke-63 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, hari ini.

Mengetuai senarai penerima, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador yang menerima Darjah Seri Pahlawan Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri diikuti Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Ayop Hashim yang menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) juga membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima anugerah, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Zainal Azman Abu Seman yang menerima Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.

Sultan Nazrin juga berkenan menganugerahkan Darjah Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk kepada 12 tokoh dan individu termasuk seorang penerima Darjah Kehormat.

Mereka adalah Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri Asmuni Awi; Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Peladangan negeri Abdul Yunus Jamhari; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Britain Datuk Mohamad Sadik Kethergany dan Profesor Ulung Institut Asia Eropah Universiti Malaya (UM) Prof Ulung Rajah Rasiah.

Menerima anugerah sama, Pakar Perunding dan Ketua Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Dr Kavita M Bojwani; Pengarah Pembangunan Negeri Perak Zulazlan Abu Hassan; Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Inovasi Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia Dr P Chandrawathani; Timbalan Mufti Perak Zamri Hashim dan bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Lim Eng Hock.

Selain itu, Bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Dr Mehander Singh Nahar Singh dan Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perak Mohamed Azni Mohamed Ali manakala, Duta Arab Saudi ke Malaysia Mahmoud H S Qattan menerima DPMP Kehormat.

Empat individu menerima Darjah Datuk Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan iaitu Pengarah Senggaraan Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Kementerian Pertahanan Brig Jen Mustaffa Othman dan Ketua Penolong Pengarah (Tadbir Urus/Kepolisan Am) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Azizi Mat Aris.

Juga Pengarah Kanan Material Markas Tentera Laut Kementerian Pertahanan, Laksamana Pertama Affenddy Suhaimi dan Ketua Jabatan Perubatan Tentera, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Brig Jen Dr Rozali Ahmad.

Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan berangkat memeriksa kawalan hormat utama yang berlangsung di perkarangan Istana Iskandariah.

Kawalan hormat utama berkenaan terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja Kem Sangro, Taiping di bawah pimpinan Kolonel Muhammad Zamri Musa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 4:37 PM