BERNAMA

PENGUNDI bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang tidak menerima kad pengundi diingatkan supaya membuat semakan maklumat lebih awal sebelum hari pengundian.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun berkata, semakan boleh dibuat melalui portal semakan pemilih iaitu https://pengundi.spr.gov.my; Hotline SPR di talian 03-88927018, aplikasi MySPR Semak atau SMS ke 15888 (taip SPRSEMAKNO.KAD PENGENALAN)

“Pengundi yang telah menerima kad pengundi atau telah mengetahui maklumat pengundian, mereka tidak lagi perlu membuat semakan di barung semakan SPR, sebaliknya boleh terus ke saluran mengundi (hari pengundian).

“Bagi pengundi yang baru membuat semakan, mereka disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat berkenaan pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut mengingatkan semua pengundi bagi PRK Tanjung Piai supaya membawa kad pengenalan dan kad pengundi atau catatan maklumat pengundian pada hari mengundi, Sabtu ini.

“Pengundi perlu menunjukkan kesemua dokumen itu kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) yang bertugas di saluran mengundi untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi,” katanya.

PRK itu menyaksikan pertandingan enam penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini; Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mewakili Barisan Nasional (BN); Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa); Wendy Subramaniam mewakili Gerakan serta dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 4:49 PM
GAMBAR hiasan.