Skip this ad x
Petugas Bernama dan RTM tidak dikurangkan setakat ini. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

MENTERI Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata, setakat ini tidak ada petanda menunjukkan jumlah petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan dikurangkan.

Malah katanya, kedua-dua entiti itu terutama Bernama, melakukan banyak perubahan dan pembaharuan yang bersesuaian untuk mengikuti arus peredaran teknologi.

“Bernama sedang menjalani banyak pembaharuan, ia sudah mula melaksanakan pelbagai usaha untuk berubah… kita lihat, saya rasa anda sendiri dapat lihat program baharu, pembaharuan dan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.

“Jadi soal pekerjaan sebenarnya tidak ditimbulkan kepada saya, tapi itu sesuatu yang saya serahkan kepada Bernama untuk memutuskannya, saya rasa mereka akan rujuk kepada saya mengenainya nanti, tapi pada masa ini tidak ada petanda jumlahnya akan dikurangkan.

“Begitu juga RTM, kita sedang melihat bagaimana kita boleh mengubahnya kerana kita tahu perkhidmatan sistem analog baharu saja ditamatkan dan diganti dengan perkhidmatan sistem digital.

“Sebaik saja sistem digital dimulakan, pasti kemudiannya ada potensi bagi kewujudan lebih banyak stesen televisyen, lebih banyak saluran… lebih banyak kandungan,” katanya ketika menjawab persoalan jika ada rancangan untuk mengurangkan jumlah petugas di Bernama dan RTM sebagaimana yang dilaksanakan Media Prima Bhd.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Konvensyen tahunan DAP di Petaling Jaya hari ini.

1 November lalu, Media Prima Berhad (Media Prima) mengumumkan pelaksanaan transformasi perniagaan syarikat dan langkah penstrukturan semula yang dijangka siap dalam suku pertama 2020.

Media Prima memberi jaminan semua petugas yang terbabit dalam langkah itu akan menerima pakej pampasan adil dan saksama.

Gobind berkata, landskap media berubah dengan pesat di seluruh dunia dan akhirnya bergerak ke arah media yang lebih berasaskan teknologi, yang memberi kesan hebat kepada perkembangan media cetak tradisional.

“Jadi ini sebabnya kita perlukan banyak syarikat media tradisional menimbang semula model perniagaan mereka dan akhirnya ia berbalik kepada daya maju komersial.

“Saya rasa mereka perlu membuat keputusan berdasarkan kepada apa yang berlaku di sekeliling mereka dan bagaimana mereka akan kekal sebagai syarikat media untuk tahun mendatang,” katanya.

“Namun sekali lagi saya tekankan, kita perlu fokus kepada soal kebajikan petugas, soal kerja amat penting… dalam kes Utusan Malaysia, amat penting untuk memastikan pekerja dibayar (sewajarnya),” katanya.

Pada 9 Oktober lalu Utusan Malaysia menghentikan operasinya selepas berhadapan dengan masalah kewangan manakala perkhidmatan petugasnya ditamatkan 31 Oktober.

Disember lalu, sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan syarikat, 800 petugasnya menerima tawaran Skim Pemberhentian Kerja Secara Sukarela (VSS).

Sementara itu Gobind berkata, kerajaan sedang bekerjasama dengan agensi media bagi mencari mekanisme baharu dalam menangani isu penyebaran berita palsu.

Beliau berkata, perkara itu adalah tanggungjawab bersama antara kerajaan dan pihak media untuk menanganinya.

“Kita juga mengadakan perbincangan dengan beberapa ahli media tertentu untuk melihat jika mereka boleh menampilkan satu platform di mana kita boleh mengadakan satu mekanisme bagi menangani isu berkaitan penyebaran media palsu,” katanya.

Terdahulu, Gobind yang juga Pengerusi DAP Selangor dalam ucapannya berkata, pihaknya sudah berusaha menambah baik infrastruktur Internet di seluruh negara dalam memastikan persediaan untuk menghadapi cabaran era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

“Kita boleh berbangga apabila kita mampu mengurangkan harga perkhidmatan Internet jalur lebar, agar dapat memberi nilai yang lebih baik kepada pengguna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 7:47 PM