Foto lelaki yang berjalan dalam keadaan berbogel di Jalan Kinabalu hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Foto lelaki yang berjalan dalam keadaan berbogel di Jalan Kinabalu hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


LELAKI dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol didapati berjalan bogel di Jalan Kinabalu, Kuala Lumpur hari ini.

Lelaki berusia 30-an itu berjalan berseorangan di hadapan sebuah bangunan sebelum disedari orang awam pada 5.27 petang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visunathan Abdullah berkata, kereta peronda dan anggota unit rondaan bermotosikal (URB) diarahkan ke lokasi.

“Anggota polis memujuk lelaki itu untuk masuk ke dalam kereta peronda tanpa sebarang kelakuan agresif.

“Siasatan mendapati lelaki itu tidak sedar dia berbogel di khalayak ramai kerana minum minuman keras berlebihan,” katanya.

Mohd Fahmi berkata, pemeriksaan mendapati lelaki itu juga tidak mempunyai masalah mental.

“Memandangkan lelaki itu tidak berpakaian, anggota polis kemudian membelikan pakaian di kedai pakaian terpakai.

“Dia juga diberikan sedikit wang saku untuk dijadikan tambang pulang ke rumahnya di Brickfields,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 9:18 PM