Laporan portal berita Harian Metro hari ini.


PADAH membuli pemandu wanita mengandung, lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan kes buli yang tular di media sosial hari ini.

Dalam kejadian 8.30 pagi Jumaat lalu, lelaki itu dikatakan memintas kereta mangsa yang mengandung tujuh bulan sebelum menengking, mengambil gambar dan menunjukkan isyarat lucah kepada mangsa.

Kedengaran mangsa berusia 26 tahun menangis ketakutan kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Johor Jaya pada 9.41 pagi hari sama.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, bertindak atas laporan polis yang dibuat mangsa Jumaat lalu, sepasukan polis menjalankan siasatan termasuk meneliti kenderaan digunakan suspek.

“Hasilnya, kita berjaya menahan suspek lelaki berusia 27 tahun di sekitar Permas Jaya pada 12 tengah hari tadi.

“Penahanan dibuat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506/509 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Terdahulu tular di Facebook (FB) video berdurasi empat minit 28 saat memaparkan pemandu kereta Audi putih menghalang seorang wanita sambil menunjukkan tanda lucah selain merakam gambar mangsa.

Dalam video itu kelihatan pemandu wanita itu melalui Jalan Johor Jaya berhampiran Giant Plentong sebelum tiba-tiba dipintas Audi putih yang kemudiannya memberhentikan kereta.

Seorang lelaki kemudiannya keluar dari Audi itu dipercayai berhampiran Shell Plentong sambil berkata ‘Bengong, tau bawa kereta tak tau...’ menyebabkan wanita itu turut membalas dengan mengatakan hanya memandu di lorongnya.

Lelaki itu kemudiannya mengambil gambar mangsa sebelum menunjukkan isyarat lucah dan beredar.

Berita berkaitan

Tunggulah polis 'jemput' kau!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 11:37 PM