ISMAIL mengubah suai pemutar minyak motosikal selepas kehilangan tangan kanan.
Ahmad Ismail


“BUKAN mudah...namun saya terpaksa berlatih hidup menggunakan tangan kiri dua tahun selepas tangan kanan terpaksa dipotong akibat kemalangan,” kata Ismail Mustaffa, 27.

Menurutnya, dia perlu menyesuaikan kehidupan ‘kidal’ (tangan kiri) selepas terbabit kemalangan ngeri pada November 2015.

“Dalam kejadian itu, motosikal RXZ ditunggang bergesel dengan sebuah lagi motosikal menyebabkan saya terjatuh di atas jalan raya di Jalan Genuang di sini,” katanya.

Akibatnya dia menerima rawatan dua bulan di Hospital Segamat kerana tulang tangan kanan patah teruk selain kerosakan urat saraf utama yang kronik.

“Susulan itu, tangan kanan saya terpaksa dipotong hingga paras bahu. Saya kemudian terpaksa berlatih untuk hidup dengan bergantung pada tangan kiri.

“Saya terpaksa mengubah suai pemutar minyak pada motosikal daripada bahagian kanan ke bahagian kiri.

“Ubah suai pemutar minyak pada motosikal ini turut diberikan kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas dasar saya sebagai orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Menurutnya, dia menghargai bantuan adik-beradik dan kenalan yang banyak membantu termasuk memotong kukunya, selain mengikat tali kasut dipakai.

“Mereka turut membantu berniaga dalam talian, selain memberikan saya semangat untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Walaupun kini berstatus OKU dan menerima bantuan bulan RM200 setiap bulanan, dia sedaya upaya melakukan pelbagai urusan untuk berdikari.

Katanya, bukan mudah melatih penggunaan tangan kiri selepas sekian lama terbiasa menggunakan tangan kanan.

“Ada kalanya saya perlu kreatif termasuk menggunakan gigi bagi membuka ikatan tali plastik, selain menggunakan kedua-dua kaki mengalihkan barangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 6:05 AM