GAMBAR Hiasan
BERNAMA

LELAKI warga New Zealand ditemui mati dengan kesan kecederaan pada bahagian atas dan belakang kepalanya di jeti marina Labuan kelmarin.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, Barry James Stanley, 63, bertugas sebagai guru sambilan di Brunei, tiba di jeti itu 12 tengah hari dari Brunei bersama rakan senegaranya dengan menaiki kapal layar.

Beliau berkata, rakan lelaki itu, Alistair Charles Muir, membantunya mengikat kapal layar itu untuk berlabuh sebelum makan tengah hari di sebuah hotel berhampiran.

Bagaimanapun Muhamad Farid berkata, Muir terkejut apabila mendapati Stanley yang memakai seluar pendek dan baju-T, terbaring di laluan jeti itu dengan mulut berdarah sekembalinya makan tengah hari pada 2 petang.

“Dia menjerit meminta tolong daripada pengawal keselamatan di pondok pengawal berhampiran dan dengan bantuan seorang warga Brunei, mereka memberi bantuan pernafasan (CPR) terhadap mangsa tetapi gagal.

“Apabila ambulans tiba 15 minit kemudian, mangsa dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia pada 2.45 petang,” katanya.

Pemeriksaan awal menunjukkan terdapat kesan geseran pada siku tangan mangsa.

Siasatan lanjut masih dijalankan dan punca kematian belum dikenal pasti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 10:59 AM