Pemandu lori mogok di hadapan pejabat JPJ Pulau Pinang baru-baru ini. FOTO Arkib NSTP
Mohd Husni Mohd Noor


“TIDAK semua pemandu lori yang ada kencing manis dan darah tinggi tidak dibenarkan memandu,” kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata demikian pada sesi sidang Dewan Rakyat hari ini.

Loke menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mengenai mogok besar-besaran dilakukan pemandu lori di Putrajaya dan Pelabuhan Klang baru-baru ini susulan tidak puas hati dengan syarat baharu dikenakan Kementerian Pengangkutan termasuk pemeriksaan kesihatan sebelum dibenarkan memperbaharui lesen memandu.

Menurutnya, dakwaan bahawa pemandu lori tidak dibenarkan memperbaharui lesen memandu disebabkan masalah kesihatan adalah tidak tepat dan berunsur fitnah.

“Bukan semua pemandu lori yang ada penyakit kencing manis tak boleh memandu, ia tertakluk kepada pemeriksaan doktor.

“Jika mereka (pemandu lori) melepasi pemeriksaan kesihatan dan mendapat pengesahan doktor maka, mereka dibenarkan memandu.

“Pihak yang mengesahkan tahap kesihatan pemandu lori bukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tapi doktor. Kalau doktor kata tiada masalah maka, mereka (pemandu lori) dibenarkan memperbaharui lesen memandu,” katanya.

Berhubung mogok besar-besaran oleh pemandu lori baru-baru ini, Loke berkata, beliau mengesahkan ada perjumpaan bersama pemandu lori dan Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid hari ini.

“Saya melihat banyak salah faham dan sengaja tak nak faham, mereka (pemandu lori) ambil peluang ini untuk beri tekanan kepada kerajaan untuk agenda lain.

“Bagi saya isu keselamatan tidak boleh dikompromi dan saya berharap jangan ada mana-mana pihak mempolitikkan isu ini,” katanya.

Baru-baru ini, lebih 500 pemandu lori berhimpun di perkarangan ibu pejabat Kementerian Pengangkutan di Putrajaya bagi menuntut kerajaan mempertimbang semula beberapa perkara dan syarat baru yang dikenakan terhadap mereka.

Mogok sama turut berlaku di Taman Perindustrian Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang membabitkan kira-kira 150 pemandu lori.

Antara syarat yang didakwa membebankan pemandu lori adalah kewajipan pemeriksaan kesihatan sebelum memperbaharui lesen memandu.

Turut dibangkitkan oleh pemandu lori adalah jumlah saman tinggi, muatan berlebihan, pemeriksaan kenderaan, pengurangan waktu sekatan, sekatan pembaharuan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) dan Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL) serta pengurangan mata demerit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 11:47 AM